Berita Bentong

Networkedblogs

Follow FB

You Are Here: Home - Berita Negeri - Al-Fatihah: Ibu Ahli Parlimen Lipis Meninggal Dunia

KUALA LIPIS – Ibu kepada Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamad Shahrum Osman meninggal dunia awal pagi semalam kerana komplikasi kencing manis, darah tinggi dan jantung.

Menurut Mohamad Shahrum, ibunya, Chik Muhamad Noor, 79, meninggal dunia pada pukul 1.36 pagi di hadapan ahli keluarga dan sanak-saudara di Hospital Lipis.

”Ibu saya kerap berulang-alik ke hospital sejak sebulan yang lalu kerana kadar gula dalam darah tidak seimbang.

“Minggu lepas, arwah telah dikejarkan ke Hospital Sultan Ahmad Shas (Hosas) Temerloh dan ditahan di wad selama lima hari,” katanya ketika ditemui di Kampung Mela, dekat sini semalam.

Menurutnya, pada 12 April lalu, pakar perubatan di Hosas telah mengambil air tulang belakang ibunya untuk rawatan lanjut.

“Keadaannya semakin kritikal dan anggota keluarga telah menghantarnya ke Hospital Lipis untuk rawatan sehinggalah doktor mengesahkan ibu saya meninggal dunia pada pukul 1.36 pagi.

“Minggu lepas Allahyarham berhasrat untuk bertemu dengan kesemua anak dan cucunya dan ini merupakan petanda dia akan meninggalkan kami buat selama-lamanya,’’ katanya.

Allahyarham Chik meninggalkan lapan orang anak, lima lelaki dan tiga perempuan serta 25 orang cucu. Mohamad Shahrum merupakan anak sulung.

Jenazah dibawa ke Masjid Kampung Mela untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Serdang, Mela untuk disemadikan selepas waktu zuhur semalam.

Hadir sama menziarahi jenazah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Abdul Rahman Mohamad; ADUN Benta, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak; ADUN Cheka, Datuk Fong Koong Fuee dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Datuk Abu Jimi Samat. – mynewshub.my
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...